Pakatan Rakyat Tiada Bezanya Dengan Cirque Du Soleil
Posted by
Simon Templar
On
Friday, June 12, 2009
Rencana ini adalah penterjemahan rencana Bahasa Inggeris bertajuk 'Pakatan Rakyat Is Just Another Cirque Du Soleil' yang dipaparkan dalam laman blog ini pada 11 Jun 2009. Penulis membuat penterjemahan ini sendiri kerana mendapati bahawa ramai pembaca tersasar daripada tujuan rencananya dan bagi memastikan bahawa objektif rencananya dapat disampaikan kepada pembaca, terutamanya pemimpin-pemimpin PR, dengan lebih efektif. Segala kekurangan dalam edisi penterjemahan ini amat dikesali kerana penulis sudah lama tidak menulis dalam Bahasa Melayu. Tiada penterjemahan ke dalam bahasa lain akan dilakukan. Sekian.
Cirque Du Soleil yang berasal dari Kanada adalah sarkas yang terkenal dan luar biasa. Tiada sarkas lain di dunia ini yang setandingnya. Apalah dengan latar belakang pentasnya yang amat menarik, ahl-ahli akrobat yang sungguh mahir dan muzik sampingan yang cukup baik. Tidak terlampau sekiranya dikatakan segala aspek Cirque Du Soleil amat bermutu tinggi. Namun, disebalik kesemua ini, memang tidak dapat dinafikan bahawa Cirque Du Soleil pada hakikatnya masih sebuah sarkas sahaja.
Kini sudah melebihi setahun pencapaian memberongsangkan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum yang lepas. Sedihnya, PR sudah mula tunjuk belang sebenarnya iaitu ianya juga sebenarnya sebuah sarkas. Bulan madu sudah tamat bagi PR. Sebenarnya, patut wujudkah 'bulan madu' dalam dunia politik? Hakikatnya, PR sudah mula menunjukkan bahawa bukan segalanya cantik molek dalam PR. Politik tetap politik. Ketiga-tiga parti politik PR mempunyai agenda mereka yang berbeza dan tersendiri. Anwar Ibrahim dengan tuah dan kemahirannya telah berjaya melakukan keajaiban dalam mewujudkan PR sedetik sebelum Mac 2008. Tetapi mampukah pelekat UHU yang melekatkan PKR, DAP dan PAS bersama dapat bertahan lama? Kekuatan pelekat UHU tiada tandingannya dengan pelekat Cap Gajah. Ramai diantara kita berharap bahawa pelekat UHU ini akan mampu bertahan untuk setidak-tidaknya 2 atau 3 penggal pilihanraya sementara menunggu BN bangun dari tidurnya.
2 atau 3 penggal sahaja? Habis? Masakan saya mahu menyokong PR buat selama-lamanya? Tidak mungkin! Saya menyokong sistem politik berparti dua. Saya menyokong sistem demokrasi. Saya bukan penyokong mana-mana parti politik. Dan saya juga bukan ahli mana-mana parti politik. Bagi saya, mana-mana parti yang berkuasa untuk jangkamasa yang lama pada akhirnya akan berubah menjadi seperti UMNO yang kita ada hari ini. Saya pasti.
Jadi, apanya dengan PR baru-baru ini? PAS dengan terbuka telah mengumumkan bahawa ia mungkin boleh bekerja dengan UMNO. Apa pula terjadinya kepada PKR dan DAP selepas itu? DAP pula tidak senang dengan langkah PAS ini. Lihatlah bagainmana pemimpin-pemimpin DAP membelasah PAS di dalam media. PKR pula tidak senang dengan DAP kerana Menteri Besar Pulau Pinang tidak melantik wakil PKR sebagai Presiden Majlis Perbandaran Sebarang Prai. Tergamak pula ahli-ahli PKR memulaukan upacara perlantikan yang dijalankan. Dan banyak lagi isu-isu perbalahan sesama 3 parti komponen ini.
Segala perbalahan ini sekarangnya sudah diperbesar-besarkan. Tidak terfikirkah pemimpin-pemimpin PR bahawa isu-isu perbalahan ini akan dipergunakan oleh UMNO, MCA dan MIC untuk memperbodohkan PR? UMNO, MCA dan MIC sudah lama menunggu tibanya hari ini. Ramai pemimpin-pemimpin PR yang menyalahkan media. Tetapi tidak tahukan mereka bahawa media negara ini dikuasai UMNO, MCA dan MIC. Begitu naifkah pemimpin-pemimpin PR sampai tidak terlintas kepala otak mereka bahawa pihak media tidak akan berdiri disebelah PR?
Patutkah PR diberi lebih masa? Kenapa pulak? Cuba fikirkan. Adakah majikan kau di pejabat sanggup memberi lebih masa untuk memahami produk syarikat walaupun sudah menyertai syarikat melebihi masa satu tahun? Adakah pensyarah di universiti sanggup memberikan markah kasihan hanya kerana baru dipindahkan dari fakulti lain? Bangun PR! Ini dunia politik. Dan dalam dunia politik tiada belas kasihan. Masakan tidak tahu sejak 9 Mac 2008 bahawa banyak yang perlu dipelajari dalam masa yang amat singkat? BN tidak akan memberi apa-apa masa dan peluang untuk berbulan madu. Hanya rakyat yang menyokong PR yang sanggup membuta-tuli memberi masa untuk menyesuaikan diri. Masa yang diberikan sudah cukup lama sekarang.
Macam mana PR boleh hilang satu negeri di bawah kekuasaannya? Satu negeri! Bukan satu kerusi! Petanda-petanda jelas kelihatan beberapa minggu sebelum rampasan kuasa itu. Tetapi PR angkuh. Tetapi PR sombong! PR terlalu yakin pada diri sendiri. Dan lihatlah sekarang. Bertungkus-lumus PR cuba dapatkan kembali Perak tapi, berjayakah? PR hutang kepada rakyat Malaysia yang mengundinya 1 negeri. Ya, ramai berpendapat bahawa UMNO merampas kuasa dengan cara-cara yang tidak betul. Kesian PR. Tapi cukuplah dengan perasaan mengasihani diri sendiri. Hakikatnya, UMNO berjaya merampas kuasa dan salahnya pada diri PR sendiri. Pemimpin-pemimpin PR patut mempersalahkan diri mereka sendiri. Tiada orang lain yang boleh disalahkan.
Pertanyaan: Mengapa ahli-ahli PKR dibenarkan memulaukan majlis perlantikan di Pulau Pinang? Bukankah Pulau Pinang negeri PR? Anwar, sila jawab. Anwar ketua PKR. Anwar ketua orang-orang yang memulaukan majlis tersebut.
Lim Guan Eng dan Karpal Singh. Tak bolehkah selesaikan masalah parti dan PR sesama sendiri? Dalam satu keluarga, bukankah masalah keluarga diselesaikan sesama ahli keluarga. Perlukah masalah keluarga disebarkan ke seluruh dunia? Macam mana DAP boleh tergamak secara terbuka mengherdik PAS saya tidak faham. Bukankah ini hanya memeritkan isu itu. Bila dah sampai tahap ini, bukankah ia lebih susah untuk mencapai pendamaian. Ini bukan transparen namanya.
PAS, PAS, PAS. Selalunya pembawa masalah pada PR. Adakah PAS sudah terlalu yakin pada dirinya sendiri? Jangan sehari pun PAS fikirkan yang ia sudah berjaya menyakinkan kaum Cina dan India tentang polisi-polisi PAS. Perubahan politik di Malaysia sekarang bukannya sekadar rakyat Malaysia tiba-tiba mahu menyokong PAS. Ramai rakyat Malaysia mengundi PAS dan PR kerana mahukan perubahan daripada cengkaman UMNO dan BN. Rakyat Malaysia sekarang mahukan sistem politik berparti dua. PAS dan PR sekadar pilihan antara 2 yang ada. Ia tiada kena-mengena dengan parti PAS sendiri. Cubalah PAS bertanding dalam pilihanraya kecil sendiri. Kita akan lihat reaksi sebenar pengundi terhadap PAS. PAS berkemungkinan besar kalah teruk.
Saya berpendirian bahawa ramai dikalangan kita yang melihat perbalahan dalaman PR ini akan cuba menipu diri sendiri dengan cerita-cerita bahawa segalanya satu permainan minda oleh PR. Sekiranya benar adanya unsur-unsur permainan minda, maka sudah berjayalah PR. Kerana kalaulah saya UMNO, memang saya berpendapat bahawa PR sekarang ditimpa pelbagai masalah. PR juga mungkin akan berpecah. Tetapi bukankah permainan minda ini bodoh apabila sampai rakyat juga tertipu? Rakyat mana yang mahukan kerajaan yang tidak stabil. Rakyat mana yang akan mengundi parti yang tidak stabil untul membentuk kerajaan? Ingat ni PR, ingat.
PKR, DAP dan PAS. Apalah dah korang ni buat? Kami rakyat melantik korang sebagai wakil kami. Tapi korang pula sibuk dengan agenda diri sendiri dan parti. Saya sebagai rakyat tidak mahu tahu-menahu sebarang masalah korang semua. Kalau dalam pejabat kerja, majikan selalu minta jangan dibawa masalah peribadi ke pejabat. Sama lah dengan pemimpin-pemimpin PR. Tolong jangan bawakan masalah-masalah korang pada kami. Itu masalah korang yang korang patut selesaikan sendiri. Rakyat tidak mahu peduli dengan masalah-masalah sesama korang.
PKR, DAP dan PAS. Bangunlah dari tidur nyenyak korang. Hentikan segala perbalahan korang dan kembali kepada kerja korang - berkhidmat untuk rakyat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
This comment has been removed by the author.
Encik Simon,
Penterjemahan ini setanding dengan Babelfish.
Saya hendak mengucapkan ribuan terima kasih kepada En. Simon kerana sudi membuat penterjemahan untuk rakyat Malaysia.
Semoga Blog in dibaca oleh penyokong BN dan PR dengan mata terbuka, dan bukan dari perspektif katak di bawah tempurung.
Majulah Malaysia!